Tuesday, January 12, 2010

Wanita Yang Mengejar Masa - Didedikasikan Untuk Seorang Isteri

Hidup di kampung segalanya terbatas. Tidak nampak jaminan masa hadapan yang cerah. tahun-tahun 60an adalah suatu era Malaysia baru menyinar kemerdekaannya. Baru lepas dari pengaruh penjajah. Hidup serba kekurangan. Dalam serba kepayahan itu, anak-anak kampung hidup dalam bahagia. Tidak pula merasa susah. Bertunang, bernikah dan berkeluarga hanya mengikut arus.

Dalam serba kepayahan itu saya dan isteri bertunang. Ketika itu saya baru sahaja selesai peperiksaan SPM. waktu itu namanya Oversea School Certificate (OSC) berkembar dengan Federation of Malaysia Certificate (FMC). Keputusannya belum tahu. Belum ada kerja, Belum ada harapan. Tidak tahu apa sebenarnya masa hadapan dan apa itu harapan. Isteri saya ketika itu baru di tingkatan empat. Baru lepas PMR (Sijil Rendah Pelajaran - SRP).

Memang jodoh kami. Bertunang pada tahun 1965 dan kami disatukan pada 2 Ogos 1971. Bayangkan enam tahun bertunang. Badai dan ombak jangan cerita. Namun kasih kami kuat, sayang kami mengikat. Menjadilah kami suami isteri.

Alhamdulillah saya mendapat pangkat ke2 dalam SPM saya. Waktu itu sangat daif maklumat kepada sekolah dan pelajar. Kami tidak tahu apa itu kaunseling dan apa itu bimbingan kerjaya. Saya hanya mendengar rakan-rakan ke MARA (UITM sekarang), Institut Teknologi Kebangsaan (UTM sekarang - di KL). Kerana iti pilihan yang ada ialah mencari kerja.

Pilihan yang saya tahu hanyalah kerani, guru, askar dan polis. Saya menolak kerani kerana saya fikir hidupnya setia pada sebuah meja dan sebuah kerusi. Sekarang ditambah setia dengan sebuah komputer. Menjadi askar adalah pantang kerana ketika itu pengganas komunis memang tengah mengganas. Keluarga memang tidak akan membenarkan. Polis pula larangan almarhum datuk saya. Tradisinya di Pulau Jawa dahulu, polis adalah tali barut Kompeni Belanda (Syarikat Hindia Timur Belanda). Mereka istilahkan sebagai anjing kompeni. Sementara menanti peluang pekerjaan saya menjadi guru sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Rengas, Seri Medan, Batu Pahat. Nak Tahu? Elaun/gaji saya RM145.00 sebulan. Saya sudah tidak ingat lagi bagaimana saya membelanjakan wang saya ketika itu. Cukup? Entahlah.

Kebetulan ketika itu keluarlah iklan latihan perguruan. Isilah borang, mana yang patut. Dipendekkan cerita dipanggil temuduga dan berjaya menjadi guru pelatih. Ketika itu saya menjalani latihan dalam skim Regional Training Centre (RTC). Saya ditempatkan di Sekolah Munshi Ibrahim, Labis, Johor pada tahun 1967. Elaun saya seperti guru sementara juga. Tambah sedikit sahaja. RM150.00. Dengan wang itulah untuk sewa rumah (Bilik - RM15.00 sebulan). Makan dan minum ketika itu cukup murah. Di Pekan Labis guru-guru diberi keistimewaan menonton percuma di pawagam. Tak kira cerita apa.

Latihan mingguan saya di bandar Segamat. Setiap hari Sabtu dan Ahad kami di bandar itu. Setiap cuti sekolah saya dihantar berkursus ke tampat yang berlainan. Cuti penggal pertama, saya berkursus di Institut Bahasa, Lembah Pantai, KL. Lembah Pantai menyemarakkan saya untuk belajar di UM. Kebetulan Institut Bahasa dan Um bersebelahan di Lembah Pantai KL. Pada cuti penggal kedua pula saya berkursus di Kuala Terengganu. Saya ditempatkan di Sekolah Padang Midin.

Tahun 1968 keadaan pengurusan kursus berubah. Saya dan rakan yang lain ditempatkan di Institut Bahasa sepenuhnya selama setahun. Setelah tamat, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu. Dua bulan kemudian saya ditukarkan ke Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu sehingga tahun 1974. Gaji ketika itu RM330.00 campur Cost of Living Allounce (COLA) sebanyak
RM30.00. Tolak EPF 10% tinggallah RM327.00.

Waktu di sekolah inilah saya berumahtangga. Seperti saya sebut di atas tarikhnya ialah 2 Ogos 1971. Berkeluargalah saya di Kuala Terengganu. Kami menyewa sebuah rumah kampung di Jalan panji Alam sekarang. Dua bilik dengan sewa RM40.00 sebulan. Lebih hebat lagi Macam mewah bunyinya. Memangpun sebab barang-barang sangat murah ketika itu. Ikan kembung atau selar kuning sebesen hanya RM3.00. Durian RM0.40 sebiji. Begitulah yang lain-lain.

Dua anak kami lahir di Kuala Terengganu. Dua-dua mek belaka. Di Kuala Terengganu kami melalui kehidupan yang agak selesa juga dengan gaji yang tidak begitu tinggi tetapi tinggi kuasa belinya. Hinggalah pada akhir tahun 1974 apabila saya ditukarkan ke Negeri Johor.

Pada mulanya saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail, Parit Raja. Tetapi sebulan kemudian saya ditukarkan ke Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang. Saya di situ hingga bulan Mei 1975. Semasa di Terengganu dari tahun 1970 hingga tahun 1975 saya mencuba dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran (STP) dengan belajar sendiri. Dalam peperiksaan pada tahun 1974 saya mendapat Prinsipal E untuk matapelajaran Bahasa Malaysia dan Ekonomi dan mendapat Subsidiari untuk matapelajaran Geografi dan Bahasa Inggeris serta lulus Kertas Am.

Dengan kelulusan itu saya diterima ke UM untuk mengikuti bidang Ekonomi. Akhirnya saya mengkhusus dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Saya menamatkan pengajian pada tahun 1979. Selepas itu saya di tempatkan di Politeknik Ungku Omar dari tahun 1979 hingga tahun 1990.

Pada tahun 1985-86 saya ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian peringkat Master of Education di University of Pitsburgh. Saya bawa isteri dan lima orang anak-anak saya. Pengalaman indah di perantauan. Akan ada cerita khusus untuk itu.

Kemudiannya saya dilantik menjadi Ketua Bahagian Perdagangan di Politeknik Batu Pahat (kampus induk UTHM sekarang) pada akhir tahun 1990. Pada tahun 1993 saya sempat memangku jawatan Pengetua selama beberapa bulan apabila pengetuanya meninggal dunia. Apabila Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) mengambil alih kampus Politeknik Batu Pahat, saya dipindahkan ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru sebagai Penolong Kanan HEM pada bulan November 1993. Tugas saya di situ hanya bertahan selama setahun sahaja. Pada bulan Oktober tahun 1994 saya ditukarkan kembali ke PLSP untuk memegang jawatan Ketua Bahagian HEP hinggalah akhir tahun 1999.

Pada 1 Januari 2000 saya menjadi pensyarah dan bersara pada 23 Julai 2001. Mulai 24 Julai 2001 saya menjadi pensyarah kontrak hingga akhir tahun 2004. Tahun 2005 bersara penuh. Tahun 2006 dan tahun 2007 ditawarkan menjadi pensyarah sambilan. Pada awal tahun 2008 ditawarkan menjadi pensyarah kontrak selama setahun dan disambung hingga ke awal tahun 2011.

Perpindahan dan perubahan hidup memperkaya dan memperluaskan pengalaman dan skill menangani hidup. Bertemu dengan kelompok orang yang berbeza adat dan agama, bahasa dan budaya. Semuanya seperti masih baru, masih segar di dalam mata dan hati.

Saya ingin kembali kepada isteri saya yang telah saya tinggalkan dalam cerita saya ini. Anak saya yang kedua dan ketiga berbeza umur selama tujuh tahun. Sedangkan antara yang ketiga hingga kesembilan berderet-deret panjangnya. kami merancang kelahiran anak kerana saya hendak menumpukan perhatian untuk melanjutkan pelajaran.

Isteri saya surirumah sepenuh masa. Hanya saya yang menjadi 'sole bread winner'. Cukup tak cukup saya yang kena tanggung. No regrets. Semasa anak masih dua orang isteri saya sempat berkursus pi Pusat Latihan Wanita, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Ketika itu saya di UM. Anak-anak, mertua saya yang jaga. Tiga bulan. Selepas berkursus, isteri saya menjadi guru Kemas dan membuka kelas di kompleks bangunan Setiausaha kerajaan di Shah Alam.

Sewaktu di UM saya mendapat separuh gaji. Hendak tahu berapa? RM440.00. Sewa rumah setinggan RM40.00. Minyak Vespa hendak diisi, perut hendak diisi, anak-anak perlu makan. Alhamdulillah, isteri saya banyak ikhtiarnya. Selain dari menjadi guru Kemas, ia pandai menjahit. Ada jugalah tempahan pakaian yang upahnya melegakan kehidupan seorang mahasitua.

Hidup di kawasan setinggan bukanlah sesuatu yang mudah. Untuk nenerangi rumah kami menggunakan lampu pam. Bila malap kena pam. Berulang-ulang, kerana saya berjaga malam. Belajar. Air adalah masalah paling berat. Kena beli getah yang panjangnya berjela-jela. Sambung menyambung antara satu getah dangan yang lain. Airnya hanya ada waktu tengah malam. Biasalah berjaga hingga ke tengah malam untuk menunggu air masuk ditadah ke dalam tong air. Sambil pula belajar. Waktu siang tidak dapat digambarkan panasnya. Macam rentung dibuatnya. Rumah setinggan dibuat ala kadar. Bumbungnya sangatlah rendah. Boleh dipegang dengan tangan. Atapnya zing pula. Itulah sebahagian daripada kepayahan-kepayanag masa lalu.

Apabila saya di tempatkan di Politeknik Ungku Omar keadaan mula berubah sedikit demi sedikit. Wahai pembaca yang masih muda belaka, kestabilan, kebahagiaan hatta kemewahan berkeluarga bukan boleh diperolehi dengan sekelip mata. Ia perlu dirancang dan dicapai berperingkat-peringkat. Jangan iri apabila bertandang ke rumah mereka yang lebih dewasa, di rumahnya ada serba kemewahan. Berapa lama ia mencapai semua itu? Mungkin 25 tahun lamanya. Sabarlah. Perlahan-lahan.

Di Ipoh saya menghuni enam buah rumah. Mula-mula menyewa rumah tetapi tuan rumahnya duduk sekali. Seorang wanita warga emas. Kurang selesa kerana anak cucunya kerap datang. Berpindah ke sebuah rumah banglow tiga bilik. Boleh pakai dua bilik sahaja. Bilik yang sebuah lagi diisi barang tuan rumah yang kebetulan bertugas di Australia. Oleh kerana rumah itu agak besar dan kawasan di keliling rumah, selesa jugalah jadinya. Sebelum lupa, sewanya hanya RM120.00 sahaja. Dari situ saya ke rumah waden di asrama. Selepas itu ke quarters besar. Setelah kembali dari USA saya menyewa di taman perumahan Rapat Setia. Rumah teres du atingkat, empat bilik dengan sewa RM150.00 sebulan.

Bila bekerja hendaklah menunjukkan segala sikap positif, boleh berkomunikasi dengan baik dan hasil kerjanya dapat dilihat. Ketua jabatan saya memberi kepercayaan lalu diberi sebuah quarters kelas C. Ada dua buah dapur (dapur basah dan dapur kering), tiga bilik air, empat bilik tidur termasuk bilik tidur pembantu rumah. Siap dengan dapur, perabot (set meja makan dan settee). Rumahnya luas dan halaman serta keliling rumah terbentang luas. Nikmatnya ketika itu. Kadang-kadang hairan juga macam mana saya boleh layak tinggal di quarters yang besar itu. Daifnya maklumat yang saya ada ketika itu.

Ironinya pada mula-mula saya sampai di Politeknik Ungku Omar, saya menumpang di asrama selama hampir 10 bulan. Pada Ramadhan pertama saya di situ saya dan rakan-rakan yang tinggal di asrama, dijemput Pengetua untuk berbuka di rumahnya. Apabila saya masuk rasa kagum dalam hati saya. Besarnya rumah. Dalam hati saya berkata, Pengetua mestilah besar rumahnya. Tiga tahun kemudian saya tinggal di rumah yang saya kagumi itu. Rupa-rupanya sebagai pegawai kumpulan pengurusan dan profesional saya layak tinggal di rumah yang besar itu. Samalah tarafnya dengan rumah seorang doktor atau jurutera atau pegawai pertanian dan yang setaraf dengannya. Hal-hal seperti itu tidak diajar di IPT. Pegawai-pegawai muda sekarang ini mungkin tidak akan merasa tinggal di rumah sebegitu kerana semakin berkurangan disediakan kerajaan. Sementelahan pula kakitangan awam berganda-ganda ramainya.

Anak ketiga lahir pada tahun 1980. Yang keempat tahun 1981 dan yang kelima tahun
1983. Yang keenam tahun 1987. Yang ketujuh tahun 1988. yang kelapan tahun 1990 dan yang kesembilan tahun 1992. Di sinilah cerita ini saya dedikasikan sebenarnya untuk isteri saya. Sesungguhnya seorang ister itu bukan sahaja berpendidikan bahkan juga ia mesti mempunyai pengalam, memiliki wawasan, boleh merancang dan boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diserahkan kepadanya.

Setiap pagi rutin saya menghantar anak ke sekolah. Masuk pejabat. Tengahari ambil anak. Masuk pejabat semula. Pukul lima baru balik ke rumah semula. Balik dari kerja saya menyiram pokok bunga. Seingat saya ada lebih 32 spesis pokok bunga kertas di keliling rumah saya. Ipoh waktu itu terkenal sebagai bandar bunga kertas. Sebahagiannya saya tinggalkan dan masih subur besar di Politeknik Ungku Omar.

Dari pukul 7.00 pagi hingga pukul 5.00 petang, urusan rumah terserah kepadanya. Isteri saya memang bijak mengurus anak dan mengurus rumah. Pandai memasak. Anak-anak saya belum ada yang dapat menandinginya. Begitu juga adik beradiknya. Kebetulan sewaktu zaman sekolahnya dahulu ia pernah menjaga anak seorang pegawai pertanian di Batu Pahat. Pengalaman itulah yang menjadikannya pandai mengurus rumah dan anak.

Semua orang maklum rutin seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Bangun tidur menyiapkan anak-anak. Mandi, pakai dan sarapannya. Termasuk bekalnya. Kemudian berkemas bilik tidur, menyapu sampah, membasuh pakaian dan bersiap-siap untuk menyediakan makan tengahari. Pertengahan tahun 80an adalah zaman kalut kepada isteri saya. Bayangkan ia mengurus anak sendirian di rumah. Waktu tengahari tiga orang anak boleh dikendalikannya seorang diri. Yang besar mengaji al-Quran. Yang adiknya disuap makan. Yang bayi menyusu badan. Saya nak tanya pembaca wanita, can you do it. Jika tidak mengaji al-Quran, isteri saya mengajar anak-anak membaca. Alhamdulillah anak-anak saya kesemuanya seramai sembilan orang, pandai membaca dan menulis sebelum masuk ke sekolah rendah. Sebahagian daripadanya khatam al-Quran sewaktu berada di TADIKA. Seorang dua yang khatam sewaktu di darjah tiga. Yang sulong sudah pandai menulis surat ketika umurnya tiga tahun setangah. Saya di UM. Sebulan tidak menjenguk anak dan isteri. Anak yang rindu.

Mana ada rihat bagi seorang isteri. Isteri saya jenis ligat. Tetapi ia sihat dan kuat. Hingga sekarang dalam usianya 60 tahun ia tidak pernah berhenti dengan aktivitinya. Nantilah. Ada ceritanya sendiri. Membasuh pakaian untuk keluarga besar tentulah menyiksakan. Hendak menyidaipun satu kerja yang berat. Selepas Zohor tentulah mengangkat kain, melipat, menyisih mengikut anak dan menyimpannya di almari pakaian.

Waktu anak belajar tidak pernah terabai. Apabila menjelang peperiksaan pertengahan tahun atau akhir tahun, seorang demi seorang akan diuji tentang apa yang sudah dipelajari. Marah dan jerkahnya jangan dicakap. Yang menangis jangan dikira. Alhamdulillah mendapat nombor satu dalam kelas menjadi biasa bagi anak-anak saya. Masih segar, anak sulong terbaik PRM di Sekolah Menengah Raja Perempuan Ipoh. Begitu juga yang kedua. Yang keempat SPM terbaik di SMAP kajang. Yang kelima, terbaik SPM di SMAP Labu. Yang keenam mendapat 11A di Kolej Islam Klang. Yang kelapan medapat 9A juga di Kolej Islam Klang. Yang lain bukan tidak baik tetapi bilangan A mereka kurang sedikit. Yang bongsu masih menunggu SPMnya.

Isteri saya pandai menghias rumah. Ada sahaja yang hendak dibuatnya. Bila jemu ada yang akan diubahnya. Jika menjelang hari raya atau menjelang anak hendak menikah lagi banyak perancangannya. Jahit menjahit satu kemestian kerana anak ramai. Mengenai masak memasak, saya kenalah puji. Masakannya enak. Anak-anak ternanti-nanti masakan sedap ibu mereka. Orang Johor lazimnya tidak begitu mahir memasak. Maaf, sayapun orang Johor. Pengalaman merantau memperkayakan isteri saya. Ia pandai memasak rendang tok yang terkenal di Perak. Boleh membuat lemang tetapi di rebus bukan dibakar. Nantilah saya ceritakan asal usulnya.

Nasi dagangnya cukup menyelerakan. Resepi mee rebusnya belum saya temuai di mana-mana di Malaysia. Paling istimewa yang ditunggu anak dan cucu ialah sejenis nasi yang tidak diketahui namanya. Belum bernama. Gabungan berbagai resepi. Macam beryani tetapi lebih istimewa lagi. Menantu saya yang keempat berminat. In sya Allah akan diperkenalkan di restorannya berhampiran Mutiara Damansara, KL. Tunggulah. Kalau sampai masanya, in sya Allah akan saya iklankan nanti.

Wakt-waktu santai di Ipoh dulu, biasalah kami ke Kuala Kangsar, Taiping, Cameroon Highlang, Teluk Batik, Lumut dan sebagainya. Sesudah berpindah ke Johor mengulani pula KL untuk ke muzium, planaterium negara, pusat sains negara, pusat Islam dan Petrosains di KLCC. Sewaktu anak-anak masih di sekolah rendahlah zaman paling manis bersama mereka meneroka dunia. Pengalaman paling manis dalam hidup mereka.

Dulu saya menjadi Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar di UTHM. Kami kerap keluar bermesyuarat, berbengkel dan berkursus. Maka keraplah saya bawa anak-anak ke hotel-hotel yang berbintang-bintang. Sampai di tempat-tempat yang indah dan asing. Semua ini memperkayakan mereka.

Sekarang, semuanya adalah kenangan. Hanya gambar-gambar mereka waktu kecil mengimbau kembali zaman mereka dibesarkan. Zaman mereka ditarbiahkan dengan alam. Zaman mereka mengenal hidup. Anak-anakku, abah sayang kau orang semua. Pada abah itulah gambarannya. Kau orang semua masih kecil di hati ini, di mata ini. Masih anak yang banyak ragam dan keletah di hati ini.

Tidak dapat hendak dinukilkan kesemuanya. Dedikasi untuk isteri tercinta. Sanjungan untuk isteri tersayang. Ke laut, ke bukit, ke lurah dan ke denai manapun kita selalu bersama. Senangmu senangku kita senafas. Rindumu rinduku kita langsungkan hidup ini ke akhir zaman. Amin.

3 comments: