Wednesday, January 13, 2010

Rindukan Anak-anak

KLCC
12.OO tengah malam
5 Oktober 2008
Penulis dan isteri
Tanpa anak-anak dan cucu-cucu


Saat perpisahan itu begitu mengosongkan. Kosong sekosongnya. Benakku berhenti berfikir. Apa ni? Kenapa kosong ni? macam mana nak gambarkan perasaan kosong ini?Tidak dapat dinukilkan dengan perkataan. Ia suatu kekosongan yang menyukarkan. Menyesak dan mematikan. Menyentap jantung hati. Suatu kehilangan. Di mana? Ke mana? Allahu Akbar. Kenapa kosong ni? Kosong. Aduh pedihnya hati.

panggilan untuk boarding tu biasa sahaja. Bila Lubna melangkah ke tangga, ya Allah ke mana anak-anakku kesemuanya. Kenapa kami tinggal berdua. Semakin jauh Lubna menghilang semakin sayu mencengkam. Menangiskah aku? Sedihkah aku? Apa sebenarnya yang ku rasa. Apakah ini kesudahannya. Sembilan anak-anakku tiada di depan mata. Dalam usiaku 62 tahun saat-saat begini sudah mula mendatang.

Aku pandang isteriku. Begitu juga dia memandangku dengan aliran air mata dan lenangan bergenang di mata. Pipinya basah. Redup. Kaku. Terkedu. Bisu. Kami bagaikan terpukau dengan kesunyian ini. Aku bisikkan kepadanya asal kita berdua, kita kembali berdua. Longlai rasa kaki. Lantai KLCCS ditapak tanpa rasa.

Sesungguhnya inilah yang dikatakan bahawa anak-anak adalah amanah Allah. Ibu bapa hanya melahirkan, memelihara, memanusiakannya, menyediakan dirinya untuk kehidupan masa hadapannya. Mereka akan keluar dari lingkungan keluarga. Mereka akan jauh dari pandangan mata. Suara mereka tidak akan didengar. Keletah mereka tidak akan dapat dilihat. Dari jauh aku hanya dapat tahu sihatnya atau susahnya. Kehidupannya sudah tidak dapat dipantau dengan pandangan mata sendiri. Hanya gerakrasa seorang ayah yang dapat merasakan kesejahteraannya atau masalahnya. Khabar berita hanya sesekali melalui panggilan jauh di hujung talian. Suaranya cukup menyejukkan rindu. Sejahteralah kau anakku.

Kehadirannya dalam keluarganya agak unik. Ia lahir tujuh bulan sekembalinya aku dan keluarga dari USA setelah tamat pengajian sarjanaku di Universiti of Pittsburgh pada tahun 1986. 28 Januari 1987 ia lahir menjadi anak puteriku yang keenam. Walaupun enam kali aku mengharapkan putera, enam puteri aku terima dengan redha. Rezeki dari Allah.

Rambutnya kerinting dan matanya bulat. Agak pendiam tetapi aku menyayanginya tanpa berbelah bagi. Persekolahannya tidak begitu menonjol. UPSRnya bukan yang terbaik. Ia mendapat 5A, namun prestasinya tidak melayakkannya ke sekolah berasrama penuh seperti Long yang ke MRSM Kulim, Dahlia yang ke Kursiah di Seremban, Nurin yang ke SMAP Kajang dan Zaza yang ke SMAP Labu.

Pendidikan menengahnya bermula di MAHAAD Muar. PMRnya agak baik. Pencapaiannya 9 A melayakkannya ke Kolej Islam Sultan Alam Shah di Klang. Inteleknya berkembang di sana. Aku bertsyukur apabila SPMnya mencapai 11A. Untuk ke IPT ia mencuba biasiswa PNB, Petronas dan JPA.

JPA menawarkannya biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan ekonomi. Aku ingatkan Dahlia sahaja yang mengikut jejakku mengikuti bidang Pentadbiran Perniagaan. Lubna juga dalam bidang yang serupa. Dua tahun ia di kolej UEM di Lembah Bringin, Tanjung Malim. Prestasinya melayakkan Lubna melanjutkan pelajarannya ke Universiti of Lancaster, United Kingdom.

Sebenarnya selepas Long dan Dahlia berjaya ke USA, aku tidak lagi manaruh harap yang anak-anakku yang lain akan dapat belajar di luar negera. Long menamatkan pengajiannya pada tahun 1995 dan Dahlia pula tahun berikutnya. Tahun 1998 ekonomi telah gawat dan sejak itu peluang untuk anak-anak ke luar negara semakin berkurangan. Apabila Lubna terpilih ke luar negara aku bersyukur sangat-sangat.

Malam kelmarin Naqib terbang ke Mesir. Matrikulasi di Universiti Al-Azhar. Perpisahan dengan anak kelapanku itu tidak terasa sangat pedihnya. Long dan keluarganya ada. Dahlia dan keluarganya ada. Najwa dan suaminya ada. Nurin dan keluarganya. Zaza ada. Zahin ada. Najhan tidak ada tetapi tidak terasa ketiadaannya. Lubna masih ada.

Tengah malam itu akau memandu pulang ke Batu Pahat. Kami bungkam dalam kereta yang meredah malam yang sayu, sunyi, pilu, kosong. Di manakah kau anak-anakku? Dalam hati akau meraung kosong. Rupanya aku hanya hanya pengembara masa. Pengembara kasih. Pengembara yang meyambung kelangsungan zuriat cucu cicit Adam dan Hawa. Allahu Akbar.

1 comment:

  1. aarrgghhhh...sedihnya....najhan tu, baru belajar dah busy giler..

    ReplyDelete