Sunday, January 3, 2010

Gawatnya Islam

Umat Islam tercabar lagi. Banyak kali diterangkan bahawa perkataan Allah itu adalah suatu entiti yang memberi konsep dan makna yang khusus kepada orang Islam. Bagi orang Kristian perkataan Allah memberikan konsep dan makna yang berbeza.

Kepada orang Islam Allah sifatnya tunggal dan Maha dalam segala hal tanpa kecuali. Jika orang Kristian dibenarkan oleh undang-undang untuk menggunakan perkataan Allah maka akan timbul banyak kekeliruan. Banyak alasan untuk tidak membenarkan mereka menggunakan perkataan Allah dari perspektif umat Islam di Malaysia.

1 Pendidikan Islam bukan lagi satu keutamaan di Malaysia. Mereka yang ada latarbelakang agama bukan yang paling dihormati dalam masyarakat.
2 Ramai orang Islam yang jahil agama sehingga kumpulan ajaran sesat berleluasa dalam masyarakat.
3 Konsep ad-din tidak dimanifestasikan dalam kehidupan orang Islam di Malaysia. Pilihan mereka adalah hidup sekular dalam banyak hal.
4 Acara dan majlis agama adalah eksklusif dikendalikan oleh orang-orang tertentu sahaja. khalayak umum orang Islam tidak 'pandai' tentang agamanya.
5 Ramai orang Islam tidak menguasai bacaan al-Quran. Maka tidak ramai di antara mereka yang boleh menjadi imam bila diperlukan. Apabila imam lewat maka semua solat fardhu menjadi lambat. Kalau ada yang maju menjadi imam, rukun yang perlu dilafazkan seperti takbirtul ihram, fatihah, tasyahud dan salam penamat solat tidak sempurna dari lahjah, makhraj, sifat dan tajwidnya.
6 Orang Islam menjadi pengikut setia kepada pemimpin. Alangkah eloknya jika pemimpin dipilih dari kalangan mereka yang mahir agama demi untuk menyelamatkan ummah dan generasi akan datang. Anak dan cucu keturunan pemimpin itu juga.
7 Pendidikan agama harus di'overhaul' supaya ada keutamaan dan ada 'urgency' untuk melaksana dan menghayatinya. Jika tidak, generasai akan datang hilang Islam mereka. Yang tinggal hanya nama yang tidak lagi memiliki roh Islam.

Ada pemimpin yang mencadangkan supaya ada sekatan ketat apabila masyarakat Kristian menggunakan perkataan Allah. Fikirkan dengan tenang, waras, berhemah dan fokus kepada terus menyinarkan syariat Islam.

1 Edaran The Herald itu tidak boleh secara terbuka. Tidak boleh dijual di kedai buku. Hadkan di gereja sahaja.
2 Ada label 'hanya untuk orang Kristian sahaja" di setiap mukasurat. Bukan di mukasurat hadapan sahaja.
3 Tidak boleh dibuang merata-merata kerana ditakuti dibaca oleh kanak-kanak. Pihak gereja mesti bertanggungjawab sepenuhnu.

Di manakah semangat persefahaman antara semua pemimpin kaum semasa negara Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dahulu? Kita terlalu banyak kompromi dan toleransi. Orang lain tidak pernah puas hinggalah kita semua didesak ke tepi. Satu demi satu hak orang Islam dirampas hingga akhirnya hak agama juga dirampas.

Apa yang tinggal? Nama barangkali. Nama tanpa roh apa gunanya.

No comments:

Post a Comment