Bila sampai masanya mencapai usia emas, pilihan semakin sempit. Namun peluang dan ruang yang Allah beri tidak pernah terbatas. Pada ketika begini ramai yang berada di persimpangan. Bagi mereka yang merasakan selama berkhidmat ini semuanya meletihkan, maka pilihannya ialah berihat. Bagi yang lain kerja itu satu kegilaan, maka ada sahaja yang dibuat asalkan kerja.
Berihat banyak konotasinya. Bagi yang ekstrim, memang ia berihat sungguh. Duduk, makan, jalan-jalan dan tidur. Mungkin membaca sedikit-sedikit, berjemaah di surau dan masjid, dan bersembang dengan rakan taulan. Sebahagian lagi, mungkin menghias rumah yang selama bekerja ini sangat terabai. Baru tersedar rupanya rumahnya bukan macam rumah. Hanya tempat tidur. Baru nampak ketidaksempurnaannya kerna sekarang sudah tidak ada kerja lain. Semua kekurangan hendak diperbaiki.
Ada pula yang berkebun. Kebetulan semasa bekerja dulu membeli tanah sebidang dua. Atau ada tanah pesaka. Bertandanglah ke kebun untuk mengeluarkan peluh, melonggarkan otot dan untuk melepaskan ketegangan mental. Maka minat bercucuk tanam mula bercambah. Belajarlah bertani. Suka-suka. Melapangkan fikiran.
Mana yang berani mengambil risiko, mereka berniaga. Mulalah ke hulu dan ke hilir mencari pelanggan, mengejar tender, menyiapkan kerja dan melaksanakan apa-apa sahaja tuntutan berniaga.
Itulah rihat yang dicari. Rihat dari rutin ke pejabat dan menunaikan tugasan harian. Bebas dari mesyuarat, arahan-arahan yang bertali arus, masalah-masalah rambang dan berkala yang datang bersusun. Nikmat rupanya apabila tidak ada siapa yang mengganggu. Apa yang hendak dibuat semuanya pilihan hati sendiri. Tiada gesaan, tiada paksaan dan tiada deraan.
Tetapi, hari tua sebenarnya bukan untuk berihat. Usia emas bak kelapa, santannya pekat. Bak pokok getah, susunya pekat. Bak telur tahun (Cina) rasanya mantap. Berihat akan menjadikan akal buntu membatu. Kognitif menjadi negatif. Akal juga menjadi pendek. Tubuh badan yang terkesan akan menjadi sakit. Kerihatan tidak menjanjikan kebahagiaan dan kesejahteraan. Pengalaman, tua dan bakti yang dulu-dulu rupanya masih perlu dilaksanakan lagi. Banyak tuntutan di luar sana yang perlukan perkhidmatan si warga emas ini.
Mereka yang muda perlukan tunjuk ajar. Yang baru perlukan pengalaman. Masyarakat keliling perlukan sumbangan pengalaman dan fikiran. Agama perlukan penggeraknya. Semua yang ada di keliling kita perlukan sumbangan dari yang seadanya kepada yang sebesar-besarnya. Maka proses kitar semula akan berlaku.
Persimpangan ini makin bersimpang siur. Hendak mengisi usia emasa atau hendak menangisi masa lalu.
Bila usia emas menjenguk, kita kehilangan banyak perkara. Suasana bekerja, yang dulu menegangkan perasaan sebenarnya ubat kepada banyak perkara lain. Mengisi masa, membuat bakti dan jasa, membantu, menyempurna, mencapai objektif dan membangun imej diri, nilai kendiri, jati diri, kewibawaan, pangkat dan darjat.
Bagi yang muda ambillah maklum. Semasa berkhidmat laksanakan yang terbaik. Istiqamah, dedikasi, komitmen, empati, ikhlas, peka, akur, patuh, setia, kreatif, inovatif, aktif, proaktif, menjana perubahan, melakukan anjakan paradigma, produktif, berlapang dada, bersangka baik, banyak belajar, bersosialisasi dan banyak berimejinasi. Sentisa dekatkan diri dengan Allah. Laksanakan perintahNya dan tinggalkan laranganNya.
Semua perlakuan semsa muda diperhati, dipantau, diingat, dicatat, disimpan dan dinilai. Yang positif akan menjadi tauladan dan iktibar dan yang negatif akan jadi sempadan. Bila perlukan kitar semula, maka mereka catatannya positif akan dikitar semula dan bagi yang negatif catatannya tidak mendapat peluang itu.
Ilmu yang ada, pengalaman yang berganda dan catatan yang positif akan menjelmakan peluang-peluang kedua iaitu proses kitar semula. Benarlah kata orang tua-tua, bahawa benih yang baik itu dicampak ke laut akan menjadi pulau. Penuhkan ilmu di dada, in Sya Allah akan ada manfaatnya. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Mengisi usia emas lebih baik dari menangisi masa lalu.
Dengan berpegang kepada falsafah itu saya menyusun langkah menghadapi usia emas. Bukan dengan gah tetapi untuk mengisi usia emas. Emas itu kita boleh jadikan emas tempauan atau apa sahaja emas asalkan bukan emas saduran yang luntur sesingkat masa.
Tahun 1998, tiga tahun sebelum bersara, saya ikuti kursus menjadi guru al-Quran. Jadilah guru al-Quran hingga sekarang. Ada yang hendak belajar silakan. Adalah beberapa kelas. Tahun 2003 mengikuti kursus Sijil Pengajian Al-Quran di Universiti Malaya (UM). 2006 hingga 2008 Mengikuti pula program Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin di UM juga. 2009 mengikuti kursus Bachelor of Islamic Studies di Open University Malaysia (OUM). Sekarang dalam semester ketiga. Di samping itu mengikuti pengajian Qiraat Asyara (sepuluh) di UIAM. Setelah mengikuti Qiraat Imam Nafi', Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn Aamir, Hamzah, 'Asim dan al-Kisaie, sekarang sedang menghabiskan tiga Qiraat terakhir iaitu Qiraat Imam Abu Jaafar, Yaakb dan Khalaf.
Saya isikan juga masa dengan berlataqi khusus Qiraat Ima Nafi'. Bertalaqi juga dengan seorang ustaz dari Jordan yang tinggal di Gombak, KL dan seorang ustaz dari Johor Bahru.
Selepas bersara pada tahun 2001, saya menyambung tugas sebagai pensyarah kontrak. Kalau sebelum bersara dahulu aya adakan kelasa bimbingan al-Quran kepadsa staf di bawah saya sekarang saya adakan sesi bimbingan al-Quran untuk rakan sejawat dan staf sokongan yang lain.
Pengetahuan mengenai agama yang saya pelajari membantu saya membetulkan konsep-konsep yang bertentangan dengan Islam. Falsafah pendidikan umpamanya perlukan kupasan bukan sahaja akademik bahkan juga membimbing pelajar kepada pemikiran yang Islamik. Jika tidak, pengaruh Teori Evolusi Charles Darwin akan mempengaruhi pemikiran. Pemikiran Aristotle mengenai Realisme banyak menjurus kepada mempercayai tentang apa yang nampak maujud sahaja. Ditolaknya hal-hal yang ghaib. Islam pula mewajibkan kita mengimani yang ghaib. Tanpa berlandaskan Islam, kajian Falsafah akan memesongkan.
Falsafah jika dikaji mengikut acuan Barat akan banyak memesongkan. Mereka percaya kepada yang nyata (konkrit) sahaja. Yang ghaib ditolak sebab tidak boleh dibuktikan maujud, tidak boleh dieksperimen dan tiada bukti-bukti empirik. Jika di Barat ramai yang akhirnya menjadi atheist, tidak percaya Tuhan, kita harus betulkan konsep-konsep Falsafah Barat supaya gambaran Islam itu jelas, terang benderang. Saya gabungkan pula maklumat mengenai alam angkasa, astronomi, teleskop Hubble, gambar-gambar alammaya dan teori kosmos. Aduh terlalu kerdil hidup ini. Bagi Allah, manusia di bumi terlalu seni tetapi oleh kerana manusia Allah yang menciptanya maka Allah memberikan tempat yang istimewa kepada manusia. DisediakanNya Syurga yang penuh nikmat.
Isilah masa tuamu dengan emas yang kau kutip, bina dan simpan sejak sekian lama. Usah tangisi masa lalumu kerana ia sudah jauh kau tinggalkan. Kejarlah akhiratmu kerana ia semakin hampir. Jangan lagi dikejar dunia kerana ia semakin menjauh.
In sya Allah masa tuamu adalah emas yang berkilau menyinar zaman. In sya Allah.
No comments:
Post a Comment