Adik saya dua orang. Yang bongsu Allah sayang padanya. Waktu umurnya tujuh bulan ia pergi menemui Allah. Alfatihah. Ayah saya meninggal ketika umur saya lima tahun. Tidak dapat hendak diingat bagaimana rupanya, bagaimana tubuh badannya.
Saya berdua bersama ibu saya kekal tinggal di rumah datuk saya. Ayah bapa saya. Datuk saya meninggal pada tahun 1962 ketika umurnya 112 tahun. Orang paling lama di kampung saya.
Tahun-tahun 50an, selepas Perang Korea, hidup di kampung serba kekaurangan dan kepayahan ada di mana-mana. Kampung terpencil. Hendak ke Pekan Parit Sulong ada tiga alternatif. Naik motorbot yang jadualnya tidak menentu atau naik motor sangkut atau berjalan kaki yang jauhnya enam kilometer, merentas akar dan banir pokok getah. Perjalanan yang memayahkan, lambat dan risiko terpelecok kaki kerana akar kayu getah yang selalu licin. Bandar Batu Pahat hanya boleh diziarahi dengan motorbot yang mengambil masa hampir tiga jam. Jika hendak berbasikal atau berjalan kaki tentulah terlalu lama masa yang diambil.Jauhnya 16 kilometer.
Tempat tinggal, makan dan pakai bukan masalah di kampung. Semuanya berkecukupan. Tetapi kualitinya ala kadar. Namun kerana pencemaran tiada ketika itu, banyak sumber tumbuhan di keliling rumah, kampung, belukar dan hutan yang boleh dijadikan makanan. Basikal tidak banyak. Jika ada pun besar-besar belaka. Tidak menjadi hairan pula, anak-anak kampung boleh mengayuh basikal walaupun kaki tidak menjejak pedal pengayuh. Brek tidak ada. Hendak berhenti gunakan kasut. Waktu malam menunggang basikal tidak perlu berlampu. Tetapi tahu di mana, titi, di mana lekuk, di mana lubang.
Hiburan langsung tidak ada. Di rumah jiran adalah sebuah radio. Waktu senggang selalulah mendengar rancangan Bangsawan Di Udara. Nama-nama pelakon-pelakonnya masih diingat. Nama-nama seperti Ahmas Sabri masih kekal hingga sekarang. Ceritanya karut dan dongeng tetapi sesuai dengan minda ketika itu. Boleh diterima akal. Ada pula rancangan drama radio. Nama-nama pelakon era itu masih ada seperti S Sahlan dan Aziz Singah. Yang lain sudah tiada seperti Musa al-Bakri (bapa Marliah Musa isteri M Nasir). Lagu-lagu yang diminati ramai tentulah rancangan permintaan ke udara. Berkumandanglah suara P Ramlee, R Azmi, Jasni, Momok Latif, Rokiah Wandah, Lina, R Rahman (bapa R Ismail) dan ramai lagi yang lagu-lagunya masih segar di Klasik Nasional. Tokoh ilmuan paling menonjol ketika itu ialah Prof DiRaja Ungku Aziz (Pak Engku). Ceramahnya di radio diminati orang kampung. Ia bercakap bahasa kampung walaupun ideanya adalah tentang kaedah memperbaiki kehidupan orang kampung. Waktu remaja saya selalu dikaitkan kepada Pak Engku kerana saya mula berjambang.
Saya bersama ibu, adik perempuan dan datuk saya tinggal di sebuah rumah yang agak jauh dari jiran-jiran yang lain. Rumah di parit yang airnya merah hitam. Air tanah gambut. Bila musim hujan, kur semangat berkeladak airnya. Kerana sudah tidak ada pilihan, mandi jugalah. Alhamdulillah, tidak pula berkudis. Bila musim panas, boleh mengail atau menangguk ikan dan udang galah. Banyak dalam parit.
Bila air pasang mudah sangat mendapat ikan. Ikan keli dan baung. Jika ada rezeki dapat juga udang galah bersepit biru sebesar lengan. Seekor dua tidak menjadi masalah. Bila musim kemarau, air parit menjadi cetek. Turunlah saya dengan sebuah pongkis. Sodok mana-mana semak tempat ikan dan udang berteduh. Pasti dapat.
Waktu itu makanan tidak banyak menunya. Goreng atau gulai. Mungkin juga dibuat pais. Paling saya suka ketika itu lumatkan udang, campur dengan kelapa parut, bubuh cekur dan garam, kukus sampai masak. Bila makan mesti terangkat. Saya masak sendiri. Itu yang teringat sangat.
Waktu lapang bermain dengan teman-teman. Nak tahu main apa? Tak boleh hendak dibayangkan. Ketika itu kami main layang-layang, rounders, main galah panjang, ting-ting, guli, campak getah gelang, gasing Cina, lempar kotak rokok dan seremban. Bila sudah agak besar belajar pula memikat burung punai.
Makan dan minum bukanlah sesuatu yang banyak pilihan. Air minum lazimnya air hujan yang ditadah di kolah atau tempayan dan guri. Bersih? Wallhu 'alam. Jika musim kemarau, sumber air minum ialah air parit. yang mendapkan. Rebus dan buatlah air minuman. Apabila pasang besar (maaf - pasang keling), air sungai melimpah ke parit. Nampak bersih airnya. Disimpan dan dimendapkan untuk mandi, membasuh dan untu masak memasak. Air sungai dan air parit belum tercemar. Tidak ada yang mati atau sakit kerana menggunakan air parit.
Makanan ruji tetap nasi. Beras murah dan barang-barang makana lain juga murah. Sayur tidak perlu dibeli. Semuanya ada di keliling rumah. Paku pakis, pucuk paku, pucuk ubi, kacang, petola, peria, pisang muda, umbut kelapa, paku perak dan daun melinja. Sesekali makanan China tetapi cuma su'un, tauhu kering, lobak masin. Jarang-jarang makan 'western'. Kalau ada makan kentang. Menu tidak banyak. Sup, gulai, kari, kurma, goreng, masak air, bakar/pangang, rebus dan kukus. Resepi tidak banyak. Lauk?
Apalah sangat yang hendak difikirkan. Ikan masin dan kering seperti suatu kemestian. Ikan darat sesekali sekala jika rajin memancing, memasang tajur, menjala ataun menggunakan sauk. Ikan laut? Rasanya adlah setahun dua atau tiga kali.
Daging dimakan dalam tiga keadaan. Pertama bila ada aqikah, kenduri kahwin, ibadah qurban dan hari raya. Ayam begitu juga. Tetpi lebih istimewa. Oleh kerana saya duduk dengan datuk, maka rumah saya menjadi kunjungan popular sanak saudara yang hendak menziarahi induknya. Kerap juga saya makan ayam. Bila ada tetamu, jenuhlah saya mengejar ayam, menangkapnya, memegangnya ketika arwah ibu saya menyembelihnya, menyiangnya di parit, mencabut bulunya dan melapah isinya. Masak apa ya? Balik-balik masak sup, kari cair, gulai. Ibu saya paandai memasak. Mewarisi kemahiran memasak nenek saya. Bahan-bahannya, secuit sana secuit sini. Campak sana, campak sini. Allahu Akbar. sedapnya hingg amenggigit jari. Entah berapa pinggan saya tambah nasi.
Gulai lemak ibu saya cukup menyelerakan. Sambal cili kering rebus santan sedap macam terangkat ke siling. Alhamdulillah saya mewarisi kemahiran memasak sambal ini. Jika dicecah dengan ubi rebus, naik gila dibuatnya. Maaflah. Cerita ubi ni untuk orang tua-tua macam saya. Orang muda mungkin sudah beralih selera.
Saya ke sekolah hanya berjalan kaki. Kira-kira empat km jauhnya. Merentas tiga kampung. Melalui bawah pokok getah. Tanahnya tidak pernah kering. Zaman itu hujan kerap turun. Berbeza dengan sekarang dalam zaman pemanasan global yang memang semakin kering. berjalan di bawah pokok getah adalah pengalaman yang cukup menyeksakan. Pijak akar licin. Pijak banir licin. Ikut manapun licin. Terbenam lagi. Kenapa ya? Saya benar-benar berkaki ayam. Tidak mampu hendak membeli kasut. Allahu Akbar. (Maaf, saya termenangis ketika menulis ayat ini). Daifnya masa lalu itu.
Memakai kasut adalah satu kemewahan. A Luxury. Hanya mampu selepas Hari Raya sahaja. Kasut bukan untuk dipakai dari rumah hingga ke sekolah. Sepasang kasut yang dinilai tinggi itu dimasukkan dalam beg raga yang dibuat dari rotan. Yang digalas setiap hari hingga melelas kulit lengan. Kasar dan tajam hingga boleh melukakan. jika beg penuh, maka kasut itu saya gantung dileher. Allah. Cukup sayu dan menghibakan. Anak kampung macam saya, cukup kenal harga diri saya. Tidak pernah merasa hal yang muluk-muluk belaka. Perit seperitnya.
Di sekolah bukan ada kantin seperti sekarang. Adalah suri rumah disekeliling sekolah yang berjualan kecil-kecilan. Makanan paling berat ialah nasi lemak, lontong, soto, mee kuning yang dibuat dari mee kering, mee kering yang digoreng dan kuih muih yang mudah-mudah. Makanan yang agak berat hanya 10 sen sepinggan. Makanan yang hanya 5 sen seunit. Allahu Akbar. Saya tidak mampu membelinya. Arwah ibu saya tidak mampu membekalkan saya walau 5 sen sekalipun. Mungkin sekali dua adalah habuan darinya. Kebanyakan masa saya membawa bekal dari rumah. (Tangisan saya bertanbah kuat di sini).
Apa yang mampu saya bawa dari rumah? Nasi kering berlaukkan sambal tumis ibu saya. Jika ada rezeki, adalah ikan masin. Entah saya sendiri kurang arif. Banyak kali saya bawa nasi sejuk berlaukkan belacan goreng. (Hingus saya semakin deras mengiringi tangis saya. Bekal itu saya bungkus dengan daun pisang kering. Ya, daun pisang kering. Pada musim tertentu, saya bungkus dengan upih. Daun pisang kering hanya disiat dari pelepahnya yang banyak di keliling rumah. Tidak dilap atau dibasuhpun. Mana ada bekas plastik. Mana ada kertas. Suratkhabar mana sampai ke kampung.
Waktu rihat kami anak-anak kampung berlumba-lumba membuka bekalan nasi sejuk masing-masing. Kadang-kadang bertukar-tukar lauk. Makanlah rakan-rakan saya ikan masin saya, sambal saya dan belacan goreng saya. Kami makan sama ada di bawah sekolah. Sekolah ada tiang kerana kawasan itu kerap banjir. Kadang-kadang kami makan di bawah pokok kopi dan getah yang ada di sekeliling sekolah. Saya dan yang lain begitu naif tetapi bahagia daam dunia kami. Air minum tidak perlu dibeli. Cukup dengan menziarahi rumah-rumah yang ada di sekeliling sekolah. kami diizinkan minum dari tempayan atau kolah-kolah yang ada. Kreativiti saya dan teman-teman cukup tinggi. Memang tidak ada penceduk, cawan, gelas atau kole. Kami gunakan daun kopi atau daun pisang untuk mencedok air. Minumlah kami sepuas-puasnya. Percuma. Sebelum lupa, daun pisang kering, pembungkus nasi sejuk tadi, saya buang. Esoknya bawa yang baru. Tetapi jika upih pembungkusnya, saya tidak mampu membuangnya. Dilipat elok-elok, tidak dibasuh, dibawa balik untuk dibasuh dan digunakan semula pada hari esoknya.
Anak-anakku, abah hanya terkenang zaman abah jadi anak kampung yang serba kekurangan. Yang melalui zaman-zaman payah. Yang deritanya banyak episod dan siri. Zaman itu sudah berlalu. yang tinggal hanya kenangan. Imbauan seorang pengembara masa. Abah sudah keluarkan dunia gelap itu dari menyelubungimu. That vicious circle is hopelly gone forever. Banyaklah bersyukurlah wahai anak-anak kesayanganku. Mohon agar kepayahan itu tidak kembali kepada semua keturunan kita yang akan datang. Amin.
EPISOD DUA
Pagi bersekolah, malam mengaji. Waktu pagi ibu menoreh. Datuk saya sudah tua
No comments:
Post a Comment