Wednesday, January 6, 2010

Disiplin

Kenapa di Sekolah ada guru disiplin? Kenapa ada masalah disiplin? Akhirnya kenapa disiplin itu penting?

Ramai pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin. Bahasa yang lebih lembut ialah salahlaku. Mungkin disebut tingkah laku deviasi. Masalah disiplin tidak pernah surut dalam sistem pendidikan. Ianya bertambah dari segi kuantiti dan bertambah kompleks dari segi variasinya.

Sehubungan dengan perkara ini, jika tidak diatasi dan ditangani dengan betul banyak perkara yang berlaku di sekolah akan menjurus hanya mengurus disiplin sahaja. Banyak lagi aspek lain yang lebih utama terabai atau dikesampingkan. Bagi sesetengah sekolah disiplin sangat menghantui pentadbir dan guru.

Saya tidak dapat menjawab apabila orang bertanya kenapa perhimpunan mingguan di mana-mana sekolah di Malaysia dijadikan medan untuk memarahi pelajar. Sindrom ini sudah terlalu lama. Tdak ada usaha untuk mengubahnya. Budaya marah ini tidaa melahirkan insan yang kita harapkan. Walaupun falsafah Pendidikan Negara telah diamalkan sejak tahun 1988 lagi, warganegara yang dihasratkan belum berjaya dilahirkan. Fenomena keruntuhan soaial makin gawat dan sukar diatasi.

Pakar-pakar psikologi banyak memberi bukti bahawa anak-anak akan menurut jejak apa yang mereka alami walaupun ketika mereka mengalaminya mereka tidak suka. seorang anak tidak suka dimarah-marah. Mereka boleh terima jika dimarah. Tetapi dimarah-marah satu pengalaman yang menyakitkan. Percayalah, nanti cucu kita akan jadi orang yang suka marah-marah kerana proses itu tidk pernah berhenti.

Barangkali kita kena ubah paradigma ini. Perhimpunan mingguan di sekolah bukan ruang untuk memarah-marah. Asingkan pelajar yang terlibat dengan salahlaku. Disiplinkan mereka. Kaunseling mereka. Tak mungkin bilangan yang terlibat seramai 90% daripada keseluruhan pelajar. Jika begitu kenapa keseluruhan pelajar di sekolah itu dimarah setiap minggu? Di mana keadilannya?

Kesan psikologinya sangat panjang. Sekarang ini cuba kita lihat keliling. Dalam tv, skripnya perlukan pelakonnya marah-marah. Suami marah. Isteri marah. Datuk marah. Nenek marah. Anak marah. Semua pelakonnya diarahkan untuk marah-marah. Realiti ahli masyarakat begitu agaknya.

Guru di sekolah harus memulakan satu budaya penyayang. Tan Sri Datuk Wan Zahid telah memperkatakannya hampir 20 tahun yang lalu. Perlaksanaannya tak kesampaian. Budaya marah di sekolah kekal hingga sekarang. Dan akan berlanjutan, entah sampai bila. Guru kena mengubahnya. Pelajar adalah anak-anak kita.

Kalau kita ambil situasi ini sebagai analogi di rumah. Kita marah-marah anak kita kerana kesalahan yang kecil-kecil. Marah-marah kita berjadual seminggu sekali. Apakah sebenarnya hubungan kita dengan anak-anak? Anak kita. Darah daging kita. Atau alien - makhluk asing yang tidak boleh diajar, tidak boleh dibaiki, tidak boleh diberi muka, tidak boleh dimajna, tidak boleh dijadikan kawan, tidak boleh dilentur. Lalu mereka mesti dibenci, diperlekah, dicaci, dihina dan dinyahkan dari kamus positif kita. Malang sungguh jika analogi ini adalah realiti kehidupan kita.

Kita kena kembali kepada fitrah Islam. Kita kena bina semula keyakinan kepada falsafah dan pendidikan ISlam. Itu sahaja pilihannya. Sehebat mana sekalipun pendidikan, pendidikan Islam adalah yang terbaik. Firman Allah:

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌

Maksudnya: Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Al-Maidah 5:3)

Allah tidak memberi kita pilihan. Pilihan yang kita ada ialah Islam. Melalui al-Quran Allah menyediakan garis panduan, prosedur, susunatur dan manual mengenai cara kita mendidik atau mentarbiah dengan disiplin. Semua susunan disiplin dalam Islam mengikut fitrah manusia.

Disiplin hendaklah bermula dari rumah. Ya, dari rumah. Ibu bapa hendaklah menjadi orang pertama menerapkan konsep dan amalan disiplin di rumah. Jika tugas ini tidak dilaksanakan atau mereka gagal melaksanakannya maka janganlah pindahkan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.

Sangat menyakitkan apabila ibu bapa tidak mahu membantu guru untuk mendisplinkan anak mereka sendiri. Mereka mati kutu, buntu untuk membetulkan anak sendiri. Pada masa yang sama memarahi guru dan sekolah kerana menyusahkan mereka. Ada pula yang berani mengatakan, sekolah yang menjadikan anak mereka tidak berdisiplin.

Guru dan sekolah mempunyai peranan yang sangat terbatas. Sekiranya hendak diukur, mungkin seorang pelajar mendapat perhatian sekadar beberapa minit dari seorang guru. Tetapi di rumah anak bersama ibu bapa selama lebih 12 jam. Janganlah 12 jam itu dibazirkan. Bentuklah masa kualiti bersama anak-anak. Makan bersama. Solat berjemaah. Buat kerja rumah dangan perhatian ibu bapa. Jaga jadual belajar mereka.

Sekiranya ibu bapa tidak ada kemahiran tentang hal ini, banyakkanlah bertanya. Ibu bapa mungkin profesional sebagai doktor, peguam, akauntan, pilitikus, dan sebagainya. Namun tuan/puan bukan profesional dalam bidang pendidikan. Berilah pengiktirafan kepada guru yang sudah terdidik, sudah terlatih dan memiliki pengetahuan dan pengalaman sebagai guru. Selami falsafah mereka, kemahiran psikologi mereka, kemahiran kaunseling mereka, teknik mengajar yang mereka miliki, kreativiti mereka menyelesaikan karenah pelajar dan akahirnya pelajarilah ketahanan mental, rohani dan fizikal guru dalam usaha mendidik anak tuan/puan.

Untuk memuaskan pelanggan yang bernama ibu bapa memang sukar. Guru hendaklah mencari jalan keluar sama ada yang boleh difikir atau yang perlukan penyelidikan. Kita tidak mampu terus-menerus membatu di zon selesa. Ilmu pendidikan yang dipelajari di maktab perguruan, di universiti atau di institut perguruan hanya sesuai semasa kita memulakan kerjaya sebagai guru. Ianya hendaklah ditokok tambah dan ditambahbaik dari masa ke semasa kerana dunia dengan fenomena globalisasinya menuntut supaya guru peka tentang perubahan-perubahan di sekeliling. Teknologi berubah, persepsi berubah, iklim berubah, kompleksiti manusia berubah (emosi, rohani, set minda).

Kita harus berani membuat perubahan. Sebagai langkah pertama jangan jadi guru yang pemarah. Jangan jadi guru disiplin yang pemarah. Jangan jadi Guru Penolong Kanan yang pemarah. jangan Jadi Guru Besar atau Pengetua yang pemarah. Ya, setiap orang berhak untuk marah kerana sifat itu memang ada pada manusia. Tetapi jangan marah hingga hilang kawalan. Jangan marah hingga menghapuskan substance yang menghalalkan kita marah. Jangan marah hingga menjadikan yang dimarah pula akan membalas, membahas, menentang dan membawa marah itu sebagai dendam. Mereka yang akan menerima balasannya itu ialah generasi yang kita tinggalkan dan kita amanahkan kepada mereka. Oleh kerana mereka belajar dari kita maka tingkah laku dan tutur kata kita akan mereka ulang-ulang lagi. Pengalaman mereka itulah yang akan mereka laksanakan.

Mari kita hentikan semua ini. Let's put a break. Ubah paradigma supaya yang kita tinggalkan adalah ilmu yang bermanfaat. In sya Allah saham kebaikan itu berpanjangan hingga ke alam barzah dan akhirnya di akhirat nanti. Ibaratnya bercucuk tanamlah supaya nanti dapat dituai hasilnya. Mudah-mudahan saham dan dividennya adalah syurga jua. Amin.

No comments:

Post a Comment