Friday, January 8, 2010

Mendisplinkan Anak

Sembilan orang anak bukan calang-calang cabarannya. Dari anak sulong hingga anak ke-9berbeza antara satu sama lain. Namun disiplin tetap disiplin. Banyak opsyen untuk mendisiplinkan anak. Strategi juga banyak. Pilih mana yang sesuai. Objektifnya pendidikan, mengajar, mendidik dan natijahnya mestilah positif.

Banyak yang ingin saya kongsikan. Kali ini menjadi lanjutan kepada Membina Generasi.

Saya beruntung kerana berkongsi aspirasi dengan isteri. Kami usahakan supaya keluarga kami berbeza dari kebiasaan. Bukan lari dari adat tetapi untuk mencari yang lebih baik sebagai landasan untuk membina masa hadapan keluarga.

Anak pertama kelahirannya dijaga oleh arwah ibu saya sendiri. Kami di Terengganu. Mula belajar. Anak kedua giliran pula ibu mertua saya. Anak kedua juga kelahiran Terengganu. Anak ketiga lahir di kampung dan dijaga oleh ibu mertua.

Selepas tiga orang anak tersebut, kami mengambil keputusan untuk tidak lagi mengganggu ibu-ibu kami. Dari yang ke-4 hingga yang ke-9. Falsafah kami ialah siapa yang buat dialah tanggung. Alhamdulillah, tiada masalah. Mereka lahir di hospital Ipoh (ke-4 hingga ke-8. Yang bongsu lahir di Batu Pahat.

Prinsip lain yang kami laksanakan ialah kami tidak mahu ibu-ibu kami memelihara anak-anak kami. Kami sendiri yang akan menghidupkan mereka.

Saya dan isteri banyak melanggar adat. Kebetulan kami sekampung. Majlis nikah dan majlis kenduri diadakan pada hari yang sama. Selepas majlis di rumah isteri, kami berjalan pula ke rumah saya. Satu Hari selesai. Belum pernah orang buat. Bagi masyarakat kampung banyak adat yang dikekalkan. Kami banyak menidakkan. Antaranya:

1 Orang kampung (orang Jawa) kandungan anak sulong hendaklah melalui adat
melenggang perut. Kami tak buat.
2 Potong jambul kami tak buat.
3 Makan tiada pantang kecuali yang beracun, memabukkan atau alahan kepada penyakit.

Semasa mengandung (duduk di Terengganu) orang di sana tidak membenarkan minum air kelapa muda. Nanti janin besar. Sukar untuk bersalin. Di Perak pula air kelapa muda digalakkan. Kata mereka anak itu kulitnya akan bersih dan mulus. Di Terengganu ibu-ibu yang bersalin hendaklah baring terlentang supaya peranakan cepat naik. Orang Johor pula melarang ibu-ibu baring terlentang. Mereka hendaklah baring bersandar dengan alasan supaya tidak meroyan. Mula-mula kami bingung, yang mana hendak diikut. Akhirnya kami buat keputusan, apa-apa yang baik untuk kesihatan, kami ikut. Berpantang tanpa sebab yang menasabah sukar hendak diterima hujjahnya. Semuanya kerana adat.

4 Anak-anak saya tidak menghisap puting kosong kecuali yang sulong. Itupun untuk jangka masa yang singkat sahaja. Kami rasakan kami menipu anak kami. Memberikan sesuatu harapan palsu. Menghisap menjadi suatu ketagihan sedangkan manfaatnya tiada langsung dapat dinikmati.

5 Dari kecil lagi kami selindungkan hal-hal yang nanti disebut dan diketahui sebagi lucah. Nama kemaluan lelaki dan perempuan kami sebut sebagai "cipuk". Hanya kami yang tahu. Orang lain di luar lingkungan keluarga tidak mengetauinya. Jadi apabila kami menyebut perkataan itu, tiada siapa yang perasaan. Apabila mereka sudah bersekolah atau sudah agak besar sedikit barulah kami perkenalkan nama kemaluan mereka yang sebenar.

6 Prinsip kami ialah, tidak membeli apa sahaja jajaan (jajan - Jawa) yang datang ke kawasan rumah kami. Apa sahaja makanan khususnya aiskrim yang digemari kanak-kanak, kami beli di pasaraya dan kami buat simpanan stok. Di luar rumah kami tidak membelinya.

7 Kami biasakan makan dan minum ala kadar. Nasi bukan satu kemestian. Sekiranya hari itu kami makan mihun sup, mungkin sampai ke malam kami makan mihun sup. Begitu juga jika mi goreng pilihannaya, maka mi gorengi itulah menu hari itu. Kami didik anak-anak supaya berasa kenyang dengan apa sahaja makanan tetapi tidak terikat dengan nasi dan lauk pauknya.

8 Makan dan minum harus melatih kesabaran. Ambil secukupnya sahaja. Jika tidak cukup ambil lagi. Jika tidak banyak yang dihidang, ajar mereka untuk berkongsi apa yang ada. Sama-sama merasa.

9 Menghadapi masakan dan minuman yang panas juga mencabar. Kebanyakan ibu bapa akan menyuruh atau mengajar anak-anak mereka untuk meniup makanan sebelum menyuap atau meminumnya. Jangan. Rasulullah melarang meniup makanan atau minuman. Hatta bernafas dalam bekas minuman pun dilarang. Ini kerana bakteria jahat dari mulut akan melekat pada makanan dan minuman. Oleh itu didik anak-anak supaya sabar, makan sedikit-sedikit sementara menunggu makanan dan minuman itu sejuk.

10 Saya tidak pernah menuangkan minuman panas ke dalam piring dan kemudian meniupnya. Orang kita masih ramai yang melakukannya. Di kedai-kedai kopi biasa kita melihatnya. Sebabnya sama seperti dalam 9 di atas. Pernah kami ke rumah saudara kami. Mereka tuangkan minuman ke dalam piring dan menyuruh anak kami meniupnya sebelum minum. Anak saya tidak tahun apa yang perlu dibuat. Tidak biasa. Pesan saya, jangan biasakan. Ajar mereka kesabaran dan etika di meja makan.

11 Sekiranya anak keluar rumah untuk sesuatu keperluan seperti tuisyen, hari jadi kawan atau keluar memnbeli barang, pastikan beberapa perkara berikut dipatuhi:

Di mana alamat yang dituju.
Dengan siapa ia pergi atau seeloknya dihantar sendiri.
Berapa lama aktiviti itu akan tamat.
Apa aktivit yang sebenarnya.

12 Pernah anak ketiga saya ke rumah kawannya pada suatu hari raya. Ia berjanji akan balik ke rumah pada pukul 12.00 tengahari. Bila sampai waktunya ia tidak balik. Saya telefon. Katanya ibu kawannya ajak makan tengahari. Saya bagi masa hingga pukul 1.00 tengahari. Oleh kerana tidak balik juga saya datang dan ambil. Dalam kereta saya katakan kepadanya, "This is the first and the last." Kena ada ketegasan dan kita laksanakan ketegasan dari segi masa dan janji.

13 Bila anak-anak hendak membeli keperluan, hantar mereka ke kedai. Beri mereka masa yang secukupnya. Jemput mereka balik supaya tiada peluang bagi mereka untuk menyalahgunakan kebebasan yang kita beri kepada mereka.

14 Dari kecil lagi ajar mereka membasuh baju, menyidainya, mengangkat apabila sudah kering, melipat atau menggantungnya, menggosok baju, menyimpan dan menyusunnya. Yang besar boleh disuruh menggosok baju ibu dan bapa mereka.

15 Ajar mereka mengemas bllik, mengemas katil dan menjaga susunatur bilik.

16 Ajar mereka mengemas rumah, vakum sampah, menyapu laman, siram pokok bunga dan mamasak selain dari menjaga adik-adik.

17 Semua anak (lelaki dan perempuan) hendaklah diajar berkemas dan memasak. Sediakan mereka kepada realiti hidup. Akan sampai masanya mereka hidup berdikari, berkongsi tanggungjawab dengan pasangan mereka apabila berumahtangga kelak. Kebetulan anak-anak kami duduk di asrama. Yang ketujuh sahaja tidak lama di asrama. Didikan di rumah memudahkan mereka menjaga peraturan di sekolah, di bilik darjah dan di bilik asrama.

18 Memasak adalah satu kemahiran yang perlu ada kepada semua anak - lelaki dan perempuan. Bila mereka di IPT dan tinggal menyewa rumah, mudah bagi mereka untuk hidup. Keperluan ini lebih mendesak jika mereka belajar di luar negara. Bila berumahtangga boleh menukar selera isteri dan anak-anak. Apatah lagi jika isteri sakit, sibuk atau terbeban dengan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

19 Pada hujung minggu atau masa cuti sekolah, berikan mereka sesuatu tugas supaya mereka kekal di rumah. Waktu malam larang sama sekali dari keluar rumah kecuali bersama keluarga atas urusan yang perlu.

20 Hiburan setakat TV dan radio sahaja. Majalah hiburan jangan dilanggan. Belikan mereka bahan bacaan seperti buku dan majalah yang memberi asas pendidikan dan pengetahuan.

21 Rumah saya setengah kilometer dari Dataran Penggaram di Batu Pahat, Johor. Banyak berlangsung berbagai aktiviti seperti konsert dan pesta-pesta yang lain. Saya didik anak-anak saya untuk tidak peduli akan semua perkara tersebut. Setiap malam tahun baru Masehi akan ada pesta bunga api. Saya sahaja yang kadang-kadang teringin hendak melihatnya. Saya hanya perlu berada di teres rumah saya untuk menikmatinya. Jika saya panggil anak-anak saya, mereka tidak ghairah untuk melihatnya. Hatta cucu-cucu saya pun tidak begitu berminat. Alhamdulillah.

22 Binalah kemampuan untuk menyediakan ruang yang cukup bagi anak-anak dan cucu cicit. Seharusnya ada ruang untuk bersolat, untuk bersembang, menonton TV, menggunakan komputer, perpustakaan, teres dan anjung rumah. In sya Allah anak cucu tidak perlu mencari hiburan di luar rumah. Semuanya tersedia untuk keperluan pendidikan dan minda mereka. Kesemuanya pula berada dalam kawalan kita sendiri.

23 Setiap anak sediakan meja dan kerusi khusus masing-masing. Di situlah mereka belajar, mengurus diri, membina cita-cita, meningkatkan usaha, menguatkan azam, mencipta kecemerlangan dan merencanakan kejayaan masa hadapan mereka. Set meja dan kerusi itu diturunkan dan dipesakai oleh adik-adik apabila tiba giliran mereka.

24 Pastikan anak-anak yang awal mencipta kejayaan. Anak-anak yang terkemudian akan menjejak abang dan kakak mereka.

25 Bahan-bahan bacaan yang akadmik janga diabaikan. Sediakan bahan yang lebih tinggi dari keperluan umur dan akademik mereka. Objektifnya adalah untuk mereka mengejar dan menggapai yang lebih tinggi. Bahan bacaan hiburan mungkin dibaca di luar rumah tetapi di dalam rumah jangan beli dan jangan simpan.

26 Apabila hari raya, pastikan semua anak yang masih dalam tanggungan, belum berumahtangga, bersama-sama ke rumah datuknya, bapa saduaranya, ibu saudaranya dan saudara mara atau rakan ibu bapa mereka. Hanya apabila mereka berumahtangga mereka dibebaskan kerana komitmen mereka berubah dan bertambah.

27 Beri pendidikan akademik, pendidikan sosial, pendidikan hidup, pendidikan agama dan pendidikan kendiri supaya apabila mereka keluar membina kehidupan mereka sendiri, mereka sudah cukup bersedia menghadapi segala-galanya. Jika tidak mereka akan menjadi "boomerang kid" yang pasti melantun kembali sesudah dilemparkan. Bila keadaan ini berlaku ibu bapa diperlukan memiliki dua kemahiran. Pertama untuk menangkap, memahami dan menyelesaikan masalah anak tersebut. Keduanya kita tidak boleh ambil mudah (take for granted) kerana jika tidak anak yang kembali seperti boomerang itu akan menyusahkan kita kembali. Masalah yang dibawa pulang jauh berganda-ganda susahnya berbanding kesusuhan mengandungkan, melahirkan, membela dan mendidiknya.

28 Sediakan pakaian ala kadar. Ikut kemampuan. Tidak perlu yang berjenama. Didik mereka untuk bersyukur. Namun didik mereka supaya berpakaian kemas, rapi, bersih dan bergaya. Pastikan anak-anak sentiasa berpakaian yang secara tak langsung menggambarkan imej ibu bapanya. Jangan ambil mudah pakaian anak-anak.

29 Mesti ajar anak-anak mengetahui kepentingan waktu. Menyediakan jadual waktu. Menghormati waktu. Mereka mesti peka dengan waktu belajar, waktu membuat kerja rumah, waktu tidur, waktu solat, waktu makan, waktu mandi, waktu bermain dan waktu muasabah diri. TV hendaklah dimatikan pada waktu Maghrib dan tepat pada pukul 10.00 malam. bagi yang di sekolah rendah pukul 10.00 adalah waktu tidur. Bagi yang darjah 5atau 6 bolehlah lanjutkan waktu belajar hingga puluk 11.00 malam. Yang sekolah menengah boleh sampai 12.00 malam. Itupun kena lihat peribadi setiap seorang dari mereka. Kita kena selektif. Yang penting mereka tidur antara pukul 10.00 hingga pukul 12.oo malam.

30 Kerja sekolah hendaklah disemak setiap hari. Tentukan hari dan waktu untuk yang dikhususkan sebagai waktu kualiti bersama anak.

31 Bila mereka mula pandai bercakap ajar mereka membaca rumi, jawi, English. Begitu juga dengan nombor. Satu, one dan wahid. Bila mereka masuk tadika tak ada masalah. Bila masuk darjah satu lagi tak ada masalah. Menulis tidak perlu sangat diajar kerana kemahiraqn itu akan datang sendiri berdasarkan huruf dan nombor yang mereka baca dan sebut setiap hari.

32 Apabila anak-anak masuk ke sekolah berasrama, didik mereka supaya lebih berdikari seperti bercermat mengurus wang saku, mengurus harta milikan sendiri, berdikari balik dan pergi ke asrama dna sebagainya. Setiap cuti sekolah, pastiukan mereka pulang ke rumah supaya hati mereka dekat dengan rumah dan keluarga. Bukan dekat dengan kawan dan keluarga kawan.

33 Bajetkan wang saku mereka secukupnya sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Jika ada keperluan yang lebih banyak, bincang dahulu setakat mana keperluannya. Jangan memberi kemewahan kepada anak sehingga mereka tidak menghargainya lagi terutamanya bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah.

34 Usahakan dan pastikan anak-anak khatam dan mahir mambaca al-Quran semasa mereka berada dalam tadika. Jika tidak boleh, pastikan sewaktu mereka berada antara darjah satu hingga darjah tiga. Jangan lewat. Jika lewat mereka tidak ada waktu lapang untuk mempelajari al-Quran. Jika sudah mahir tidak ada masalah andainya mereka berjaya ke sekolah berasrama penuh.

35 Pilihan kerjaya anak-anak seharusnya bermula sewaktu mereka berada di sekolah rendah lagi. Selepas SPM, pilihan IPT, tempat (negara) dan kursus hendaklah dengan cara mengharmonikan faktor-faktor berikuat:

Minat.
Keputusan matapelajaran yang berkaitan.
IPT yang mereka pilih.
Peribadi anak: motivasi, kerajinan, keunikannya, mentalnya, sosialnya dan
kriteria-kriteria lain untuk membantu anak tersebut membuat pilihan yang tepat.

Kursus akan membawa kepada kerjaya. Kerjaya dan keperibadian anak mestilah selari. Seorang bakal doktor hendaklah teliti, sabar, penyayang, tegas dan peka. Seorang peguam hendaklah petah bercakap, berhujjah secara objektif, bual bicaranya bernas. Seorang bakal wartawan hendaklah mudah bersosial, ekstrovert, berani, cergas, tidak mudah putus asa dan boleh membuat keputusan dengan segera.

36 Selingan 1: Dua orang kanak-kanak lelaki bermain di dalam rumah. Mereka membaling-baling bolah di ruang tamu. Alkisahnya terkenalah lampu gantung (tahun 50an dahulu). Pecahlah berderai. Bapa mereka tidak berkata apa-apa. Menyapu semua serpihan-serpihan mentol yang bertaburan. Anak-anak tadi kecut ketakutan. Bila tiba waktu malam, maka ruang tamu itu gelap gelita. Berkeriaulah dua hero tadi. Gelaplah kata mereka. Ketika itulah pendidikan disiplin disampaikan oleh si bapa. Lampu adalah untuk menerangkan kegelapan waktu malam. Tetapi kalau lampu itu dipecahkan maka akibatnya bergelaplah mereka malam itu. Ini bermakna disiplin bukan teori dan bukan abstrak semata-mata. Ia adalah suatu realiti. Disiplinkanlah anak dengan menghubungkannya dengan realiti.

37 Selingan 2: Seorang sahabat berkursus di Australia. Dia ditempatkan di sebuah rumah warganegara. Suatu hari si ibu dan anak gadisnya yang berumur 17 tahun memasak makanan berkuah untuk tengahari itu. Setelah siap, entah macam mana si gadis tadi tertumpahkan masakan ke lantai karpet dapur mereka. Melambaklah makanan itu. Terkebil-kebil si gadis. Ibunya tidak berkata walau sepatah perkataan pun. Kemudiannya si ibu mengajak si gadis membersihkan tumpahan makanan tersebut. Semasa membersih itulah pengajaran disiplin disampaikan. Ada tiga implikasi negatif, kata si ibu, apabila kita melakukan kesilapan. Pertama, penat memasak. Kedua, penat membersihkan tumpahan makanan. Ketiga, yang paling malang sekali ialah kita tidak dapat makan apa yang kita masak dan apa yang kita bersihkan.

Begitulah. Disiplin bukan sesuatu yang sukar. Mesti praktikal. Berpijak di bumi realiti. Objektif.

Anda mungkin ada pengalaman sendiri. Padankan dan harmonikan. Mungkin boleh berkonsi pengalaman itu. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

1 comment: