Monday, January 4, 2010

Sekolah Oh Sekolah

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa apabila anak-anak bersekolah, ibu bapalah sebenarnya yang bersekolah. Kenangkanlah bahawa ibu bapa yang bangun lebih awal, mengejutkan anak-anak, memandikan mereka yang masih di awal sekolah. Pada masa yang sama menyiapkan sarapan, memakaikan pakaian, menyiapkan bekalan. Akhir sekali membuat pemeriksaan akhir supaya tidak ada yang tertinggal. Anak-anak dipastikan siap siaga untuk perjuangan besar hari itu. Cabaran menuntut ilmu.

Anak-anak akan balik tengahari dengan kesibukan yang tersendiri. Mana nak makan, mana nak mandi. Selepas makan, kerja rumah dan kerja rumah. Kalau di Johor, petang bersekolah agama pula. Waktu malam anak-anak menyiapkan kerja rumah lagi. Setengahnya pula menghadiri kelas tuisyen petang hingga ke malam.

Ingat tak sepanjang hari ibu bapa berkhidmat untuk anak-anak. Jika yang menaiki bas atau van secara bulanan, beban ibu bapa hanya pada menentukan masa mengikut jadual dan pada akhir bulan membayar sewa tambangnya. Bagi yang menghantar sendiri, hidup cukup kalut. Awal pagi hantar anak ke sekolah. Masuk kerja. Tengahari ambil anak. masuk kerja semula. Petang hantar anak ke sekolah agama atau ke kelas tuisyen atau hantar anak untuk aktiviti koko di sekolah. Menjelang Maghrib baru tugas-tugas itu hampir selesai. Malam mungkin hantar anak untuk ke kelas tuisyennya.

Selepas Isyak, selepas makan malam, semak kerja anak-anak, semak buku latihan, hadir untuk membantu kerana banyak yang tidak difahami mereka. Ibu bapa yang berpendidikan tinggi tidak menghadapi kesukaran membantu anak-anak. Tetapi bagi ibu bapa lain sangat sukar untuk membantu.

Bayangkan pada hujung minggu urusan persekolahan anak-anak tidak tamat. Kelas tambahan dan aktiviti koko dijalankan pula. Begitu juga waktu cuti sekolah. Kelas tambahan terus menerus diadakan terutama bagi pelajar yang menghadapi peperiksaan.

Itulah sebabnya orang Melayu mengadakan kenduri kendara pada masa cuti sekolah. Jika tidak cuti sekolah memang tiada masa lapang kecuali menumpukan 100% masa untuk anak-anak semata-mata.

Ibu bapa memang keletihan dalam hal ini. Penawarnya ialah apabila anak-anak mendaki tangga kejayaan dari satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi hingga mereka tiba ke puncak gading.

Di sebalik semua kepayahan itu sebenarnya ada insan lain yang perlu lebih dihormati, dipuji, didoakan kerana tidak pernah rasa jemu dan letih. Guru ya guru. Dalam keletihan mengurus anak saya tanya anak-anak saya, "Cikgu tak cuti ke?" Memang soalan itu tidak perlu dijawab.

Saya kagum dengan guru. Mereka ada keluarga. Ada anak. Kita tahu keluarga dan anak-anak perlukan perhatian. Bila masanya guru-guru ini memberikan masa kualiti untuk keluarganya?

Bayangkan. Sampai di rumah pukul 2.00 petang. Berada di sekolah semula pada pukul 3.00 petang. Balik sebelum Maghrib pula. Saya tabik kepada guru-guru ini. Dedikasi dan komitmen mereka tiada tolok bandingnya. Mungkin akan saya kupas dalam posting yang lain.

Kepada ibu bapa yang masih gigih mengurus anak dan bagi mereka yang baru belajar, sekolahkanlah diri anda untuk mendapat ilmu keibubapaan. Pastikan anda benar-benar bersekolah menyaangi anak-anak anda. Move forward. Majulah ke hadapan. Masih banyak yang perlu dilunaskan.

Sunday, January 3, 2010

Penamat Urusan Sekolah

Sembilan orang anak cukup mencabar untuk membesarkannya. Alhamdulillah pendapatan bulanan boleh menampung keperluan kehidupan walaupun ada masanya sempit dan sesak juga dibuatnya.

Perkahwinan yang dibina pada tahun 1971 dianugerahkan Allah dengan sembilan orang anak. Tujuh puteri dan dua putera. Enam yang pertama adalah puteri, diselang dengan dua putera dan dilengkapkan dengan seorang puteri. Anak pertama tahun 1972 dan anak terakhir pada 31.12.1992. Cantik. Betul-betul di akhir tahun. Waktunya 11.55 malam menjelang tahun baru 1993. Saya kira penutup suatu kisah indah sebuah keluarga.

Dua anak yang pertama lahir di Kuala Trengganu. Waktu itu saya mengajar di Kuala Trengganu. Pertama di SMK Ibrahim Fikri, Seberang Takir. Kemudian ke SM Chung Hwa Wei Sin, di Bukit Kecil, Kuala Trengganu. Yang ketiga dan kesembilan lahir di Batu Pahat Johor. Yang lain keempat hingga kelapan lahir hi Hospital Ipoh (bertugas di Politeknik Ungku Omar dari 1979 hingga 1990).

Untuk mendapatkan anak lelaki tidak ada formula. Kami hanya menunggu dan berdoa. Kelahiran puteri-puteri kami, tetap kami redhai kerana mereka penyeri hidup kami. Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak yang solehah. Selepas lahir anak keempat, jururawat bertugas berteka teki dengan saya. You want boy or girl. Sepantasnya saya jawab, "of course boy." Selamba jawabnya, "Sorry. Come back next year."

Begitulah tekateki yang yang sama berulang untuk anak yang kelima dan keenam. Bila sampai yang ketujuh barulah positif lelaki. Kami bersyukur. Semoga anak ini anak yang soleh. Semoga anak ini dapat menguruskan jenazah kedua orang tuanya, mengimamkan nya dan mendoakannya. dalam keadaan lain mungkin menjadi wali kepada kakak-kakak dan adiknya bila usia saya tiba di pengjungnya.

Tahun 1979 bermulah episod mengurus persekolahan anak-anak. Anak pertama pernah bersekolah di Sek Kebangsaan Sungai Way pada awal tahun 1979. Kemudiannya di sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh (di Jalan Chung Thye Phin). Anak kedua juga di sekolah yang sama. Anak ketiga di sekolah yang sama hingga darjah 4. Anak keempat di sekolah yang sama hingga darjah 3. Dan anak yang kelima di sekolah yang sama hingga darjah satu. Darjah dua dan tiga di SK Tengku Mariam, Batu Pahat. Darjah 4 di SK Bandar Baru UDA.. Darjah 5 dan 6 kembali semula ke SK Tengku Mariam di Batu Pahat.

Anak keenam bermula di SK Bandar Baru UDA. Darjah 2 hingga 6 di SK Tengku Mariam. Anak ketujuh dan kelapan di SJK Montfort di Batu Pahat. Anak yang bongsu di SK Tengku Mariam. Menguruskan persekolahan anak-anak adalah cabaran besar bagi mana-mana keluarga. Bagi yang berpendapatan sederhana atau rendah memang sangat perit. Setiap awal tahun ribuan ringgit mesti disediakan dari pakaian hinggalah buku teksnya. Secara harian dan bulanannya juga mencabar kerana wang saku, tambang bas dan tuntutan sekolah yang tidak mengenal masa ibu bapa ada wang di tangan atau tidak. Kalau keperluan sekolah pada hujung bulan, lega sedikit. Tetapi kalau di tengah bulan, ibu bapa menjadi macam cacing kepanasan.

Akhir tahun 2009 adalah penamat semua suka duka mengurus anak bersekolah. Yang bongsu menamatkan tingkatan limanya. Di hari-hari akhir tahun 2009 anak keenam memberi ulasan kelegaan. Mengiktiraf peranan ibunya yang saban awal tahun berusaha mempastikan anak-anaknya berada dalam "tip-top condition" sebelum memulakan tahun persekolahan yang baru. Ulasannya, "Hati ini tamatlah kesibukan mami (panggilan untuk ibunya) selepas 38 tahun perkahwinan." Terasa benar waktu terlalu cepat berlalu.

Bagi mereka yang sedang mengurus anak-anak bersekolah, teruskan perjuanganmu. Bagi yang baru memulakan peranan, belajarlah dari mereka yang arif. Untuk mereka yang belum bukalah semua deria anda untuk melihat dan mendengar asam garam mengurus anak-anak besekolah.

Gawatnya Islam

Umat Islam tercabar lagi. Banyak kali diterangkan bahawa perkataan Allah itu adalah suatu entiti yang memberi konsep dan makna yang khusus kepada orang Islam. Bagi orang Kristian perkataan Allah memberikan konsep dan makna yang berbeza.

Kepada orang Islam Allah sifatnya tunggal dan Maha dalam segala hal tanpa kecuali. Jika orang Kristian dibenarkan oleh undang-undang untuk menggunakan perkataan Allah maka akan timbul banyak kekeliruan. Banyak alasan untuk tidak membenarkan mereka menggunakan perkataan Allah dari perspektif umat Islam di Malaysia.

1 Pendidikan Islam bukan lagi satu keutamaan di Malaysia. Mereka yang ada latarbelakang agama bukan yang paling dihormati dalam masyarakat.
2 Ramai orang Islam yang jahil agama sehingga kumpulan ajaran sesat berleluasa dalam masyarakat.
3 Konsep ad-din tidak dimanifestasikan dalam kehidupan orang Islam di Malaysia. Pilihan mereka adalah hidup sekular dalam banyak hal.
4 Acara dan majlis agama adalah eksklusif dikendalikan oleh orang-orang tertentu sahaja. khalayak umum orang Islam tidak 'pandai' tentang agamanya.
5 Ramai orang Islam tidak menguasai bacaan al-Quran. Maka tidak ramai di antara mereka yang boleh menjadi imam bila diperlukan. Apabila imam lewat maka semua solat fardhu menjadi lambat. Kalau ada yang maju menjadi imam, rukun yang perlu dilafazkan seperti takbirtul ihram, fatihah, tasyahud dan salam penamat solat tidak sempurna dari lahjah, makhraj, sifat dan tajwidnya.
6 Orang Islam menjadi pengikut setia kepada pemimpin. Alangkah eloknya jika pemimpin dipilih dari kalangan mereka yang mahir agama demi untuk menyelamatkan ummah dan generasi akan datang. Anak dan cucu keturunan pemimpin itu juga.
7 Pendidikan agama harus di'overhaul' supaya ada keutamaan dan ada 'urgency' untuk melaksana dan menghayatinya. Jika tidak, generasai akan datang hilang Islam mereka. Yang tinggal hanya nama yang tidak lagi memiliki roh Islam.

Ada pemimpin yang mencadangkan supaya ada sekatan ketat apabila masyarakat Kristian menggunakan perkataan Allah. Fikirkan dengan tenang, waras, berhemah dan fokus kepada terus menyinarkan syariat Islam.

1 Edaran The Herald itu tidak boleh secara terbuka. Tidak boleh dijual di kedai buku. Hadkan di gereja sahaja.
2 Ada label 'hanya untuk orang Kristian sahaja" di setiap mukasurat. Bukan di mukasurat hadapan sahaja.
3 Tidak boleh dibuang merata-merata kerana ditakuti dibaca oleh kanak-kanak. Pihak gereja mesti bertanggungjawab sepenuhnu.

Di manakah semangat persefahaman antara semua pemimpin kaum semasa negara Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dahulu? Kita terlalu banyak kompromi dan toleransi. Orang lain tidak pernah puas hinggalah kita semua didesak ke tepi. Satu demi satu hak orang Islam dirampas hingga akhirnya hak agama juga dirampas.

Apa yang tinggal? Nama barangkali. Nama tanpa roh apa gunanya.

Thursday, December 31, 2009

Hijriyyah Vs Masehi

Cuba fikirkan. Yang mana pilihan yang hak. Kalau ramai yang memilih Masehi, apakah implikasinya kepada kehidupan kita. Dan begitulah sebaliknya.



Setiap tahun terdapat perbezaan sebanyak 11 hari antara Hijriyyah dan Masehi. Bulan Hijriyyah berdasarkan Qamari iaitu bulan. Lazimnya ada bulan yang genap 30 hari dan ada pula bulan yang hanya 29 hari. 29 atau 30 hari bukan predetermined tetapi ditentukan dengan tanda hakiki iaitu anak bulan. Bila muncul anak bulan maka bermulalah bulan baru.



Bulan Masehi berdasarkan syamsi iaitu matahari. Maka dalam kalendar barat terdapat bulan yang 30 hari dan 31 hari. Bulan Februari pula 28 hari. Setiap 4 tahun ada pula tahun lompat yang padanya bulan Februari 29 hari.



Mungkin kita memandang remeh mengenai perkara ini. Jika kita teliti berlaku khilap antara umur dan tahun. Di dalam al-Quran Allah berfirman:


وَلَبِثُواْ فِى كَهۡفِهِمۡ ثَلَـٰثَ مِاْئَةٍ۬ سِنِينَ وَٱزۡدَادُواْ تِسۡعً۬ا

Maksudnya: Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: tiga ratus tahun (dengan kiran ahli kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu). (al-Kahfi 18:25). Jika dibuat pengiraan jumlah hari maka 300 tahun Masehi bersamaan dengan 309 tahun Hijriyyah. maka berlakulah khilap antara Hijriyyah dan Masehi. Lihat jadual di bawah:

Masehi Hijriyyah Perbezaannya

1 tahun = 365 hari = 1 tahun = 354 hari + 11 hari
5 tahun = 5 tahun + 55 hari
10 tahun = 10 tahun + 111 hari
20 tahun = 20 tahun + 222 hari
30 tahun = 30 tahun + 333 hari
32 tahun = 32 tahun + 1 tahun + 1 hari
40 tahun = 40 tahun + 1 tahun + 90 hari
50 tahun = 50 tahun + 1 tahun + 101 hari
60 tahun = 60 tahun + 1 tahun + 112 hari
70 tahun = 70 tahun + 1 tahun + 123 hari
80 tahun = 80 tahun + 1 tahun + 134 hari

Berdasarkan kaedah Masehi umur kita dikira lebih muda dan jika dikira dengan kaedah Hijriyyah maka kita sudah lebih tua. Semua ini mesti diharmonikan. Al-Quran, hadith dan agama Islam membilang tahun menggunakan kaedah qamariah bukan syamsiah. Jika kita masih berpegang dengan tahun syamsiah maka banyak perkara yang khilaf secara berterusan. Sewaktu kita berumur 32 tahun Masehi sebenarnya kita sudah berumur 33 tahun 1 hari. Kita dikehendaki sedar bahawa kita sentiasa bertambah tua lebih cepat berbanding dengan kiraan Masehi. Kesedaran ini harus memberi keinsafan bahawa kita semakin cepat lebih dekat dengan akhir hayat kita. Dengan Masehi kita dilalaikan dengan umur yang lebih panjang. Walhal umur kita sudah lama tinggal sisanya sahaja. kalau barat mengatakan "life starts at 40" bermakna bagi orang Islam ianya bermula lebih awal lagi iaitu pada umur Masehi sebelum 39 tahun lagi.Mengapa kita tidak balik kepada sistem yang lebih diredhai Allah? Kenapa kita selalu mencari redha manusia? Apakah rasionale kita sebenarnya? Di manakah kewarasan akal kita? Saban tahun kita dihayalkan dan dilalaikan dengan sambutan tahun baru Masehi sedangkan di sisi Allah ianya langsung tiada nilai. Islam telah menentukan hari-hari yang mulia yang menuntut ummatnya beribadat dengan istiqamah. Bulan Ramadhan adalah bulan mulia. Hari Raya, hari tasrik dan hari Jumaat adalah antara hari-hari yang signifikan dalam Islam. Lagipun Islam menggariskan bahawa hari ini sepatutnya lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Konsep tahun baru banyak lebih gimik dan tujuan komersil. Ditaja hiburan, iklan, kad ucapan, parti dan sebagainya. Kepada mereka yang bukan Islam tidak ada masalah kerana itu budaya mereka. Mereka merasionalkan bahawa semuanya baik untuk mereka. Kita yang Islam bukankah kita ada acuan sendiri? Kita meniru tanpa memikirkan implikasinya dari segi akidah, adat dan budaya timur. Oleh itu carilah jalan pulang. Sedarlah kalau kita telah sesat, jangan degilkan hati untuk terus lebih sesat. Pusingkan haluan, pulanglah ke pangkal jalan. Jangan tunggu tua kerana sekarang ini mereka yang meninggal dunia tidak lagi berdasarkan umur dan senoiriti mereka. Yang muda nampaknya lebih ramai yang lebih dahulu meninggal dunia berbanding dengan ayah dan ibu mereka. Inilah masa untuk menukar haluan. Sekarang. Jangan tunggu lagi. Mulakan dengan diri anda halulu. Beranikan diri untuk membuat langkah yang pertama. Silakan.